KULIAH PELAJAR BAHARU ASASI SAINS PERTANIAN DI KOMPLEKS AKADEMIK E (KAE) SEMASA PKP | BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
» BERITA » KULIAH PELAJAR BAHARU ASASI SAINS PERTANIAN DI KOMPLEKS AKADEMIK E (KAE) SEMASA PKP

KULIAH PELAJAR BAHARU ASASI SAINS PERTANIAN DI KOMPLEKS AKADEMIK E (KAE) SEMASA PKP

Pusat Asasi Sains Pertanian telah menerima seramai 794 pelajar dan mereka mula melapor diri sebagai pelajar baharu mulai pada 2-3 Ogos 2020. Semester pertama 2020/2021 bermula pada 3 Ogos 2020 dan kuliah secara bersemuka yang sepatutnya bermula pada 10 Ogos 2020 telah ditangguhkan selama dua minggu sehingga 23 Ogos 2020. Pada 24 Ogos 2020 kuliah secara bersemuka telah dimulakan. Selaras dengan SOP yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), beberapa perkara yang menjadi keperluan SOP telah dilaksanakan.

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa 18 Mac 2020 yang lalu diikuti dengan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang disambung sehingga 31 Disember 2020, antara golongan yang terjejas dalam konteks sosial, ekonomi dan norma kehidupan adalah golongan pelajar.

Apabila berlakunya wabak COVID-19, sesi kelas dan kuliah tidak boleh dilaksanakan seperti biasa. Namun, proses pengajaran dan pembelajaran diteruskan dan Bahagian Kemasukan telah memastikan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan diambil ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka dijalankan. Antara langkah-langkah tersebut adalah:

  1. Memastikan penjarakan sosial dipatuhi di dalam ruang pembelajaran dengan memastikan terdapat ruang kosong (iaitu jarak sekurang-kurangnya satu (1) meter) di antara kerusi, meja dan kedudukan pelajar ketika berada di bilik kuliah atau kelas selaras dengan saiz bilik;
  2. Meminimumkan dan mengawal jumlah pelajar yang berada di dalam ruang pembelajaran pada satu-satu masa;

iii.    Memastikan satu daftar nama pengguna yang menggunakan kemudahan bilik kuliah disediakan;

  1. Memastikan tiada aktiviti berkumpulan yang tidak dipantau oleh tenaga pengajar;
  2. Memastikan aspek kebersihan diutamakan di dalam ruang pembelajaran dengan menyediakan pensanitasi tangan kepada pelajar dan kakitangan dan menggalakkan pemakaian pelitup muka;
  3. Menetapkan laluan keluar masuk ke Bilik Kuliah Kompleks Akademik E sebagai kawalan ke atas pelajar bagi tujuan saringan dan pemantauan.

 

Tarikh Input: 01/10/2020 | Kemaskini: 01/10/2020 | iftiqar

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
SXDdNAN~