Projek Putra RobeCare 50 Perkukuh Kolaborasi Akademia Dan Pemerkasaan Kemahiran Pelajar UPM | DIVISION OF ADMISSION AND DIVISION OF ACADEMIC GOVERNANCE 127
» NEWS » Projek Putra RobeCare 50 Perkukuh Kolaborasi Akademia dan Pemerkasaan Kemahiran Pelajar UPM

Projek Putra RobeCare 50 Perkukuh Kolaborasi Akademia dan Pemerkasaan Kemahiran Pelajar UPM

SERDANG, 16 Julai 2026 – Pejabat Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa (PPAA), Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan usaha memperkukuh kolaborasi strategik bersama Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) melalui pelaksanaan Projek Putra RobeCare 50 bagi tujuan baik pulih jubah akademik UPM sempena Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2026.

Projek berimpak ini merupakan inisiatif kerjasama antara PAA bersama Jabatan Pendidikan Sains dan Teknikal, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP) yang melibatkan penglibatan pelajar dalam bidang Pendidikan Sains Rumah Tangga bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih jubah akademik graduan UPM.

Melalui pelaksanaan projek ini, sebanyak 500 unit jubah akademik UPM akan terlibat dalam proses baik pulih sebagai sebahagian daripada persediaan menghadapi Majlis Konvokesyen UPM Ke-50. Kerjasama ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dan kemahiran teknikal yang dipelajari dalam situasi sebenar, di samping memberi pengalaman berkaitan pengurusan projek dan perkhidmatan berkaitan industri.

Ketua Bahagian Urus Tadbir Akademik, Puan Norazlina binti Zulkefli berkata, kolaborasi ini mencerminkan komitmen UPM dalam memperkasakan hubungan antara fakulti dan pusat tanggungjawab melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman.

“Projek Putra RobeCare 50 bukan sahaja memberi manfaat dari aspek pengurusan jubah akademik universiti, malah menjadi platform kepada pelajar untuk membangunkan kemahiran profesional, kreativiti serta minda keusahawanan yang selari dengan keperluan semasa,” katanya.

Projek ini dijangka dapat memberikan nilai tambah kepada pelajar khususnya dalam membina entrepreneurial mindset, kemahiran penyelesaian masalah, pengurusan kualiti serta kebolehan mengaplikasikan pengetahuan bidang pengajian dalam persekitaran sebenar.

Selain menyokong kelancaran persediaan Majlis Konvokesyen UPM Ke-50, Projek Putra RobeCare 50 turut memperlihatkan komitmen UPM dalam memperkukuh agenda University-Industry Community Engagement (UICE) melalui penglibatan aktif warga universiti dalam projek berasaskan kemahiran dan inovasi.

Date of Input: 16/07/2026 | Updated: 16/07/2026 | m_bazli

MEDIA SHARING

DIVISION OF ADMISSION AND DIVISION OF ACADEMIC GOVERNANCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
X, (01:49:29am-01:54:29am, 19 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]