Akta Kerja 1955 | BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
» ARTIKEL » Akta Kerja 1955

Akta Kerja 1955

Akta Kerja 1955

Walaupun terdapatnya banyak CUTI UMUM (Hari Kelepasan Am) yang di wartakan di bawah Akta Hari Kelepasan Am 1951 di Malaysia, namun di bawah Akta Kerja 1955, majikan TIDAK DIWAJIBKAN memberikan cuti pada setiap cuti umum yang diwartakan itu kepada pekerja mereka.

Majikan boleh memilih SEBELAS (11) cuti sahaja sebagai cuti berbayar dalam satu tahun calendar. 

Namun dari 11 itu LIMA (5) darinya MESTIlah (WAJIB) terdiri dari:-

  1. Hari Kebangsaan
  2. Hari Keputeraan YDP Agong
  3. Hari Keputeraan Raja-Raja/YDPertua Negeri atau Hari Wilayah jika pekerja bekerja di Wilayah Persekutuan
  4. Hari Pekerja
  5. Hari Malaysia

Cuti umum wajib di atas tidak boleh diganti dengan hari lain.

Baki ENAM (6) cuti lagi boleh dipilih oleh majikan mengikut budi bicara mereka.

Akan tetapi majikan wajib memberitahu pekerja melalui satu notis yang dipamerkan di tempat kerja sebelum bermulanya tahun kalendar yang baru.

Cuti Umum Tambahan

Satu lagi cuti tambahan adalah di bawah Seksyen 60D (1) (b) Akta Kerja 1955  iaitu:

pada mana-mana hari yang diumumkan sebagai hari kelepasan am di bawah Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951

Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 ini merujuk kepada cuti mengejut yang diberikan oleh kerajaan yang belum di wartakan.

Contohnya:

Secara mengejut kerajaan memberi CUTI KHAS atas kejayaan pasukan bolasepak Malaysia dalam mana-mana kejohanan yang disertai.  Cuti ini adalah TAMBAHAN kepada 11 cuti di bawah Seksyen 60D (1) (a) di atas.

Namun, majikan boleh mengantikan tarikh cuti khas ini dengan mana-mana hari lain jika mahu.

Section 8 Holiday Act 1951

“The Minister may, by notification in the Gazette or in such other manner as he thinks fit, appoint in respect of West Malaysia or the Federal Territory or, after consultation with the State Authority, in respect of a State, a day to be observed as a public holiday or a bank holiday in addition to or in substitution for any of the days mentioned in the Schedules and thereupon this Act shall in West Malaysia, or in the Federal Territory, or in the State in respect of which a day is appointed to be observed as a holiday as aforesaid be applicable to such day in the manner as if the said day has been mentioned in the First Schedule or the Second Schedule,as the case may be.”

Nota: Jika majikan ingin memberikan lebih dari 11 hari cuti setahun kalendar atau memberikan cuti pada semua hari-hari kelepasan am yang diwartakan, maka terpulanglah kepada majikan. Akta Kerja hanya mengenakan syarat MINIMA SAHAJA. Majikan yang ingin memberikan faedah yang lebih kepada pekerja amat digalakkan

Bolehkah Majikan Meminta Pekerja Berkerja Pada Hari Kelepasan Am Atau Cuti Umum Ini?

Walaupun majikan telah menetapkan hari-hari cuti yang pekerja layak mendapat cuti berbayar, namun ini tidak bermakna majikan tidak boleh meminta pekerja BERKERJA PADA HARI KELEPASAN AM tersebut.

Namun, jika pekerja pada hari cuti umum (kelepasan am), maka pekerja layak mendapat upah yang lebih tinggi mengikut kadar minima yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955.

Seksyen 60 D (3) (a) Akta Kerja 1955:

Walau apa pun subseksyen (1), (1A) dan (1B) mana-mana pekerja boleh dikehendaki oleh majikannya bekerja pada mana-mana hari kelepasan berbayar yang dia berhak di bawah subseksyen tersebut dan dalam keadaan tersebut dia hendaklah, sebagai tambahan kepada bayaran hari kelepasan yang dia berhak dapat bagi hari tersebut:

(i) dalam hal pekerja yang diambil bekerja secara bulanan, mingguan, harian dan jam atau lain-lain kadar bayaran yang serupa dibayardua hari upah pada kadar biasa; atau

(ii) dalam hal pekerja yang diambil bekerja atas kadar ikut kerja, dibayar dua kali ganda kadar biasa bagi satu kerja,

tidak kira bahawa tempoh kerja yang dilakukan itu pada hari itu kurang daripada waktu-waktu kerja yang normal.

Nota: Untuk kadar OT pada hari cuti umum atau kelepasan am ini, sila rujuk entri mengenai “Kerja Lebih Masa“.

Kes: Oriental Star Lumut Park Resort Sdn Bhd v Mansor Daoh [1996] 2 ILR 1065

Fakta Kes: Di dalam kes ini, pekerja-pekerja diminta hadir berkerja pada 31hb Ogos 1994. Namun mereka tidak hadir dengan alasan 31hb Ogos adalah merupakan hari kelepasan am yang wajib diberikan kepada pekerja.

Isu: Adakah majikan boleh mengarahkan pekerja berkerja pada hari kelepasan am atau cuti umum?

Keputusan Mahkamah: Majikan boleh mengarahkan pekerja berkerja pada SEMUA hari kelepasan am berdasarkan Seksyen 60D (3) (a) DENGAN SYARAT majikan membayar upah sebagaimana yang ditetapkan pada sub-seksyen 3(a) (i) dan (ii)

Nota: Keputusan yang sama turut diberikan dalam kes: Lion Metal Industries Sdn Bhd v Metal Industry Employee’s Union [ICR Award 267/1993].

Keperluan Untuk Hadir Hari Sebelum Atau Selepas Hari Kelepasan Am

Seksyen 60 D (2) Akta Kerja 1955 menggariskan syarat-syarat hadir kerja sebelum atau selepas cuti umum sebelum pekerja berhak kepada cuti umum berbayar. Maksud ketidakhadiran di sini adalah tanpa kebenaran majikan (AWOL) dan tanpa alasan yang munasabah.

“Mana-mana pekerja yang tidak hadir kerja pada hari kerja sebelum atau selepas hari kelepasan am atau dua atau lebih hari-hari kelepasan am berturut-turut atau mana-mana hari atau hari yang digantikan kepadanya di bawah seksyen ini tanpa kebenaran terdahulu daripada majikannya adalah tidak berhak mendapat apa-apa bayaran hari kelepasan untuk hari kelepasan tersebut atau hari-hari kelepasan terturut-turut melainkan ia mempunyai alasan munasabah bagi ketidakhadiran itu”

Nota: Keperluan pada Seksyen ini:

  1. Pekerja adalah TIDAK HADIR

(a) Sebelum hari kelepasan am, ATAU

(b) Selepas hari kelepasan am

  1. Tanpa kebenaran majikan
  2. Tanpa alasan munasabah untuk tidak hadir

Cuti Sakit Yang Diberikan Pada Cuti Umum

Menurut Seksyen 60 D (1B), apabila cuti sakit bertindih dengan cuti umum, maka cuti umum ini hendaklah diganti. Namun, cuti ini tidaklah ‘automatik’ dan hendaklah diberi pada hari yang dipersetujui oleh majikan.

“Sekiranya mana-mana hari kelepasan am itu atau mana-mana hari lain yang digantikan kepadanya sebagaimana yang diperuntukkan dalam subseksyen (1) atau (1A) jatuh dalam tempoh di mana pekerja sedang dalam cuti sakit atau cuti tahunan yang mana pekerja itu berhak di bawah Akta ini, atau jatuh dalam jangka masa tempoh ketidakupayaan sementara di bawah Akta Pampasan Pekerja 1952 atau di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan hendaklah memberikan hari yang lain sebagai hari kelepasan berbayar sebagai ganti baagi hari kelepasan am atau hari yang digantikan itu”

Rujuk kes: Malaysian Airline System (MAS) v Nahaza Ahmad Bin Abd Salam [1994] 1 ILR 945

Fakta Kes: Dalam kes ini pekerja diberikan cuti sakit oleh doktor dan cuti itu jatuh pada hari cuti umum. Esoknya (hari selepas cuti umum), pekerja telah tidak datang kerja dengan alasan dia layak pada cuti ganti.

Keputusan Mahakamah: Cuti ganti bukanlah sesuatu yang automatik. Ia perlu diberi pada hari yang telah dipersetujui.

“It is the finding of the court that the Claimant was not entitled to take 9th March 1989 as a replacement for the medical leave that he had obtained on the 8th which was a public holiday. Section 60D (1B) of the Employment Act 1955 does not provide that an employee can automatically take the next day in lieu of the sick leave which fell on a public holiday although it says that the company shall grant another day in substitution thereof”

Cuti Umum Jatuh Pada Hari Rehat Dan “Off Day”

Mengikut proviso pada Seksyen 60 D (1), jika hari kelepasan am jatuh pada hari rehat, maka kerja yang berikutnya hendaklah menjadi hari kelepasan am sebagai ganti.

“Dengan syarat bahawa jika mana-mana hari kelepasan am yang dirujuk di perenggan (a) dan (b) jatuh pada hari rehat maka hari bekerja berikut selepas sahaja hari rehat tersebut hendaklah menjadi hari kelepasan berbayar sebagai ganti untuk hari kelepasan am tersebut”

Bagaimana pula jika syarikat memberikan dua hari rehat seminggu? Extra Off-Day buat pekerja seminggu. Lihat contoh di bawah:

Jika Hari Pekerja jatuh pada ‘off  day‘ pekerja, maka bilakah cuti ganti (jika ada) bagi pekerja memandangkan 02/05/201X pekerja masih bercuti iaitu Hari Rehat pekerja?

Oleh kerana Seksyen 60 D (1) cuma menyatakan tentang hari ‘rest day’, maka cuti umum yang jatuh pada hari ‘off-day’ tidak perlu diganti.

Kerja Pada Hari Cuti Umum (Kelepasan Am)

Sekiranya pekerja berkerja pada cuti umum (selain 5 cuti umum wajib yang disebut di atas), majikan boleh menggantikan cuti tersebut dengan hari lain, dengan persetujuan pekerja (rujuk proviso S.60D(1A).

Sekiranya majikan tidak mahu mengganti dengan hari lain, maka pekerja yang berkerja pada hari kelepasan am berhak kepada bayaran tambahan selain dari upahnya pada hari tersebut.

(i) dalam hal pekerja yang diambil bekerja secara bulanan, mingguan, harian dan jam atau lain-lain kadar bayaran yang serupa dibayardua hari upah pada kadar biasa; atau

(ii) dalam hal pekerja yang diambil bekerja atas kadar ikut kerja, dibayar dua kali ganda kadar biasa bagi satu kerja,

tidak kira bahawa tempoh kerja yang dilakukan itu pada hari itu kurang daripada waktu-waktu kerja yang normal.

Contoh:

  • En. Maza bekerja di Syarikat DLSL.
  • Kadar upah harian nya adalah RM 80 sehari.
  • 1hb Mei adalah Hari Pekerja. Namun, atas sebab-sebab kecemasan En Maza diminta oleh majikannya berkerja pada hari tersebut.
  • Kerja-kerja disiapkan oleh En Maza dalam masa tidak sampai 2 jam.
  • Oleh kerana tiada tugas lain yang perlu disiapkan, En. Maza dibenarkan pulang oleh majikannya.

Soalan: Berapakah yang wajib dibayar oleh Sykt DLSL kepada En Maza bagi kerja-kerja pada 1hb Mei itu?

Jawapan: Di bawah Seksyen 60 D (30) (a) Akta Kerja 1955 Sykt. DLSL wajib membayar En. Maza upah hari tersebut dan dua kali upah tambahan biarpun dia cuma berkerja tak sampai 2 jam. Seksyen ini tidak menyebut berapa jam dia perlu bekerja. Oleh itu, asalkan dia bekerja, dia layak mendapat bayaran 1 + 2 bagi kerja pada hari kelepasan am. Oleh itu pada 1hb Mei, En Maza perlu di bayar RM 80 + RM 80 x 2 = RM RM 240.

Kemaskini: 29hb September 2018

 

Tarikh Input: 25/09/2023 | Kemaskini: 25/09/2023 | m_bazli

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
SXEcNAB~