Pertanian, Penternakan Pintar Pemangkin Hasil Lumayan, Lestari | BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
» ARTIKEL » Pertanian, penternakan pintar pemangkin hasil lumayan, lestari

Pertanian, penternakan pintar pemangkin hasil lumayan, lestari

PERTANIAN peringkat global pada abad ke-20 menunjukkan ia didominasi melalui amalan pertanian intensif. Baja bukan organik dan bahan kimia kawalan serangga digunakan secara meluas untuk meningkatkan hasil pengeluaran dan melindungi tanaman daripada serangan perosak.

Pertanian moden ini berkembang selari dengan kemajuan industri dan teknologi baharu dalam pertanian. Pertanian secara intensif terbukti berjaya meningkatkan pengeluaran makanan sesebuah negara atau rantau.

Pada Sidang Kemuncak Akuakultur Global 2017, industri akuakultur memainkan peranan penting dalam memastikan bekalan makanan dan pemakanan mencukupi untuk kesihatan, memandangkan jumlah penduduk dunia diramalkan mencecah 9.7 bilion menjelang 2050.

Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pengeluaran hasil akuakultur di Malaysia meningkat 3.5 kali ganda berbanding 2000 hingga 2010.

Bagaimanapun, kesan pencemaran alam sekitar seperti sisa akuakultur, termasuk sisa makanan tidak digunakan, termasuk najis ternakan dilepaskan ke alam sekitar menunjukkan trend membimbangkan.

Dianggarkan 100 hingga 200 kilogram (kg) nitrogen dan 10 hingga 15kg fosforus menyumbang kepada sekurang-kurangnya 30 peratus sisa air kolam setiap tahun.

Jamin bekalan makanan mencukupi

Pada abad ke-21, sektor pertanian perlu mendepani pelbagai cabaran dengan matlamat untuk menjamin bekalan makanan mencukupi secara mampan kepada penduduk dunia. Maka, revolusi hijau perlu beralih ke arah pertanian pintar iklim.

Jelas, pertanian hari ini perlu mengekalkan kesihatan ekosistem, memperbaiki kemerosotan tanah dan pada masa sama mengatasi masalah pencemaran alam sekitar daripada penggunaan agrokimia dalam pertanian moden.

Dalam pada itu, pertanian organik mesra alam harus digalakkan dalam kalangan peladang kecil. Sistem pengurusan haiwan perosak bersepadu dengan kawalan biologi serasi dengan pertanian ekologi dapat membantu memastikan kelestarian aktiviti ini.

Sementara itu, tanaman selingan dengan tumbuhan pelengkap seperti kekacang mengekalkan mutu tanah yang baik dan subur dengan penggunaan agrokimia minimum.

Amalan agroekologi ini memerlukan tambahan tenaga buruh dan masa menyebabkan kurangnya minat petani terhadap amalan ini. Oleh itu, insentif harus diberikan kepada petani organik untuk membantu mempromosikan hasil ladang mereka seperti pemberian subsidi.

Perlu diakui, pertanian amat penting dan meliputi lebih keperluan keselamatan makanan, seperti menangani isu seperti kemiskinan, air, biodiversiti, bandar lestari, tenaga lestari dan perubahan iklim kerana ia satu daripada penyumbang utama gas rumah hijau.

Oleh itu, penting untuk meletakkan pertanian sebagai agenda utama bukan sahaja kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, tetapi juga pelbagai kementerian.

Untuk mencerminkan peranan sosioekonomi pertanian yang penting, pasukan rentas kementerian dan pemegang taruh harus diwujudkan.

Ia perlu merangkumi wakil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Kementerian Pendidikan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi; Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi serta Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu, ia perlu membabitkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Industri Perladangan dan Komoditi; Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Bagi tujuan mencapai pertumbuhan pertanian hijau inklusif, dasar khas diperlukan untuk melindungi dan memulihkan tanah dengan nilai pemuliharaan karbon tinggi seperti hutan tropika, tanah gambut dan hutan bakau.

Perlu perancangan strategik

Gabungan rentas sektor sedemikian perlu dibentuk di semua peringkat pentadbiran bersama semua pihak berkepentingan, termasuk perancangan strategik pada peringkat majlis bandar raya.

Seiring dengan pembinaan bangunan, agihan geran tanah secara strategik untuk ladang atau dusun harus digalakkan untuk pemuliharaan tanah terbiar dan meningkatkan landskap hijau dalam membina bandar mampan yang mampu menghalang kejadian banjir kilat.

Perancangan tanaman dan penternakan pula harus dilakukan secara demokratik bersama organisasi berasaskan komuniti dan petani supaya sesuai dengan kehendak serta keutamaan setempat berkenaan penggunaan tanah, jenis tanaman atau ternakan dan pengurusan ekosistem.

Pertanian masa depan mesti mempertimbangkan kemampanan sistem pengeluaran, keperluan alam sekitar, kecekapan, ekuiti dan pengurusan sumber semula jadi.

Pertanian dan penternakan di Malaysia perlu bergerak seiring teknologi terkini untuk transformasi pertanian tradisional berasaskan buruh kepada pertanian automatik berasaskan pengetahuan pintar.

Penggunaan teknologi pertanian dilihat masih jauh ketinggalan di Malaysia. Justeru, kita perlu melatih generasi baharu petani atau usahawan untuk mengadaptasi pengetahuan pertanian dengan penyesuaian ke arah pengeluaran mampan.

Latihan kemahiran pertanian profesional di kolej vokasional serta program pertanian moden di universiti boleh diperkenalkan untuk mempromosikan pertanian sebagai industri menarik dengan pulangan lumayan.

Pada masa kini, kita mempunyai teknologi dron berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk pemantauan sistem maklumat geografi (GIS) dan aplikasi agrokimia pintar. Bermakna, negara amat memerlukan anjakan paradigma ke arah pertanian pintar menggunakan peranti penderiaan dan pemantauan pintar menggunakan internet, analisis dan perancangan pintar. Teknologi perladangan pintar sesuai untuk meningkatkan hasil ternakan atau akuakultur melalui pemantauan masa nyata keadaan plot penternakan. Oleh itu, sistem pemantauan pintar perlu dibangunkan dan dilaksanakan untuk mengautomasikan pemantauan dan pengurusan akuakultur pada peringkat pembiakan, penetasan dan penternakan.

Selain itu, teknologi penuaian inventif akan membantu mengurangkan kebergantungan terhadap buruh, manakala teknologi pasca tuai kreatif dapat meminimumkan kerugian dalam rantaian bekalan dari ladang dan kolam ke pasaran.

Insentif fiskal juga amat penting untuk menggalakkan usahawan menceburi pertanian pintar dengan peruntukan sokongan kewangan mencukupi, seperti pinjaman skim khas dan pengecualian cukai.

Petani perlu digalak mempelbagaikan prospek mereka seperti ekopelancongan nurseri ikan, sawah padi, ladang teh dan ternakan atau tempat peranginan buah-buahan tropika.

Dengan perkembangan abad ke-21, kita mengharapkan landskap pertanian lebih mampan untuk masyarakat, keselamatan makanan dan mesra alam.

Penulis adalah Profesor Madya di Institut Biologi Sistem, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tarikh Input: 05/07/2023 | Kemaskini: 05/07/2023 | m_bazli

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
SXEcSAA~