Reflection On 2024: Embracing And Translating UPM's True North Strategic Framework | DIVISION OF ADMISSION AND DIVISION OF ACADEMIC GOVERNANCE
» ARTICLE » Reflection on 2024: Embracing and Translating UPM's True North Strategic Framework

Reflection on 2024: Embracing and Translating UPM's True North Strategic Framework

Tahun 2024 telah merekodkan sejarah Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kepimpinan transformasi dan pencapaian strategik yang diketengahkan di bawah pimpinan Naib Canselor YBhg. Dato’ Profesor Ahmad Farhan Mohd Sadullah.  Kerangka Halatuju Strategik True North telah menyediakan hala tuju yang jelas dan berwawasan tinggi untuk masa depan universiti. Kerangka ini, dengan enam teras strategik dan lima tonggak sokongan, menyelaraskan aspirasi UPM dengan keutamaan negara dan visi Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia merentasi disiplin/bidang bagi mencapai satu matlamat bersama.

Kerangka Strategik True North telah memupuk budaya dan minda kolektif melibatkan semua jabatan untuk menyelaraskan semula objektif sasaran Universiti demi mencapai kecemerlangan bersama. Pejabat Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa (PPAA) memainkan peranan utama dalam memberikan perkhidmatan sokongan akademik yang lebih baik dan menyokong secara langsung Teras Kerangka Strategik terutamanya dalam usaha memberikan perkhidmatan melebih jangkaan dan menyediakan pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik di Universiti.

Peningkatan Kemudahan Akademik dan Inisiatif Arena Akademik dan Pusat Konvensyen Putra

Pada tahun 2024, PPAA telah memulakan pelan secara berfasa untuk memodenkan kemudahan akademik utama. Usaha pembangunan ini menumpukan pada penilaian dan kapasiti sumber sedia ada, merancang keperluan masa depan, dan menggerakkan pendanaan yang menyokong hasrat ini. Projek utama, Inisiatif Arena Akademik dan Pusat Konvensyen Putra, telah bangunkan secara kerjasama dengan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), bertujuan menaiktaraf ruang pembelajaran agar selaras dengan keperluan pendidikan semasa. Inisiatif Fasa 1 melibatkan transformasi dewan kuliah kepada smartclassroom ini dijangka siap pada awal 2025, mencerminkan komitmen UPM untuk memupuk persekitaran akademik yang berpusatkan pelajar dan berorientasikan teknologi masa depan yang relevan dengan cabaran masa kini.

Jom Masuk U dan Promosi Sekuriti Makanan

UPM telah dipilih menjadi tuan rumah program Jom Masuk U Zon Tengah, yang merupakan program signature Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA KPT (UPU), diiktiraf Kementerian Pendidikan Tinggi. Jom Masuk U @UPM telah menarik lebih 12,000 pengunjung, dan turut menonjolkan kecemerlangan UPM melalui lawatan EduPark, inisiatif AI & Food Security @ UPM – PSP, serta inovasi Bas Pengembangan oleh UCTC. UPM turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) dalam pelaksanaan program ini, dan mendapatkan sokongan semua Fakulti di UPM.

Memperkasakan Pengambilan Pelajar Antarabangsa

Kemajuan ketara dicapai dalam meningkatkan pengambilan pelajar antarabangsa UPM. Dengan penubuhan Bahagian Promosi, PPAA turut mengatur strategi promosi untuk meningkatkan visibiliti global UPM. Kolaborasi dengan ejen pengambilan serta inisiatif yang disasarkan dengan rakan strategik telah mengukuhkan kedudukan universiti, memastikan kelestarian kewangan dan kepelbagaian warga pelajar kampus.

Transformasi Digital: SMP 4.0 dan Putra SiM

Transformasi digital UPM pada tahun 2024 turut diperkarakan dengan pembangunan Sistem Maklumat Pelajar baharu (SMP 4.0). Sistem ini, di bawah penyelarasan dan pembangun pasukan ICT UPM dijangka dapat mentransformasikan proses akademik untuk memenuhi keperluan yang berubah dan terkini. Pengaktifan dan naik taraf Sistem Putra Outcome-Based Education (PutraOBE 2.0) turut dilaksanakan bagi memastikan program akademik kekal relevan, berimpak, dan selaras dengan piawaian global.

Konvokesyen 2024: Meraikan Kecemerlangan dan Legasi

Majlis konvokesyen 2024 merupakan program yang bermakna kepada warga university terutama dalam meraikan kejayaan pelajar. Penganugerahan Watikah Pelantikan Pro-Canselor telah diadakan di Istana Bukit Kayangan, oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah alhaj. Majlis tersebut meraikan pelantikan baharu Tan Sri Peter Chin Fah Kui sebagai Pro-Canselor dan pelantikan semula DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie.

Konvokesyen  ke-48 UPM 2024 turut menghargai YBhg. Academician Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Syed Jalaluddin Syed Salim dengan penganugerahan Ijazah Kehormat dalam Sekuriti Makanan, manakala Prof. Emeritus Datin Paduka Setia Dr. Aini Ideris dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus. Konvokesyen ini turut menyaksikan pembukaan Sidang 1 Konvokesyen UPM ke-48 oleh Tan Sri Peter Chin sebagai Pro-Canselor yang diadakan di Bintulu, Sarawak.

Pembangunan Kakitangan dan Program Mobiliti

PPAA memberi keutamaan kepada pembangunan kakitangan pada tahun 2024 dengan inisiatif utama seperti program Look-East Experience Enrichment. Tiga kakitangan Pejabat Pentadbiran Akademik dan Antarabangsa terlibat dalam program mobiliti kakitangan dengan rakan strategik di Jepun, termasuk Kyushu Institute of Technology (Kyutech), Kindai University, dan Benesse Holdings. Program ini memupuk pembangunan profesional dan menyokong aspirasi transformasi UPM di bawah Kerangka Strategik True North.

Penubuhan Kyutech–UPM Japan Super Satellite Centre (JSSC)

Satu dekad kerjasama antara Kyutech dan UPM mencatat sejarahnya tersendiri dengan pembukaan Kyutech–UPM Japan Super Satellite Centre (JSSC) pada 8 Mei 2024. Terletak di Kampus Wakamatsu Kyutech, pusat ini menawarkan kemudahan bagi memperkukuh kolaborasi antarabangsa UPM-Kyutech. Peristiwa bersejarah ini disempurnakan  oleh pengurusan tertinggi UPM, termasuk Naib Canselor YBhg. Dato’ Profesor Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Timbalan Naib Canselor Prof. Dr. Ismi Arif Ismail.

Pelancaran PUTRA: Pertanian untuk Rakyat

Pada 16 Mei 2024, UPM melancarkan penjenamaan identiti baharunya, PUTRA: Pertanian untuk Rakyat, yang dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang. Inisiatif ini menyatukan program pertanian dan sekuriti makanan UPM di bawah satu jenama, menekankan komitmen universiti dalam memperkasakan petani melalui pendidikan, latihan, dan penyelidikan. Ia menjadi bukti dedikasi UPM terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan ekonomi yang lestari.

Peningkatan Kedudukan Antarabangsa dan Jaminan Kualiti

Pada tahun 2024, UPM Berjaya melonjak dari kedudukan ke-25 ke kedudukan ke-20 dalam QS Asia University Rankings 2025. Ia merupakan satu pencapaian hasil usaha kolektif seluruh warga universiti. Selain itu, UPM mengekalkan status swaakreditasi di bawah Agensi Kelayakan Malaysia dan mendapat pengiktiradan unit APEL.C untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat. Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu bagi Tujuan Penganugerahan Kredit (APEL.C) adalah proses penilaian pembelajaran (tidak formal dan bukan formal) seseorang individu berdasarkan pengalaman terkumpul (pengetahuan dan kemahiran) untuk mendapatkan pindah kredit bagi kursus dalam program yang sedang diikuti.

Harapan Masa Depan 2025

Mendepani cabaran tahun 2025, PPAA komited untuk memberikan sokongan akademik terkini kepada warga kampus. Fokus akan diberikan kepada memperkukuh kerjasama antarabangsa, memperkenalkan program baharu yang kompetitif, dan memanfaatkan teknologi digital untuk mempertingkat perkhidmatan universiti. Dengan landasan kukuh yang telah dibina, PPAA bersedia untuk memperkukuh lagi peranannya sebagai peneraju pendidikan tinggi dalam mencapai aspirasi kebangsaan dan global.

Date of Input: 23/12/2024 | Updated: 05/02/2025 | m_bazli

MEDIA SHARING

DIVISION OF ADMISSION AND DIVISION OF ACADEMIC GOVERNANCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
S.2025/3/12:21:26:58~noCache