Sejarah Awal Bendera Di Malaysia | DIVISION OF ADMISSION AND DIVISION OF ACADEMIC GOVERNANCE
» ARTICLE » Sejarah awal bendera di Malaysia

Sejarah awal bendera di Malaysia

Sejarah awal bendera di Malaysia

Rekod terawal secara terperinci mengenai bendera di dalam budaya Melayu adalah di dalam Sulalatus Salatin (atau Sejarah Melayu) nukilan Tun Sri Lanang yang merupakan Bendahara Johor pada masa itu. Dalam karya tersebut Tun Sri lanang telah menjelaskan secara terperinci tentang penggunaan panji-panji di Kesultanan Johor. Menurutnya, Sultan Johor menggunakan panji berwarna putih bagi melambangkan kesucian dan kekudusan; bakal raja juga menggunakan panji putih namun berbingkaikan warna diraja iaitu warna kuning; Bendahara menggunakan panji-panji berwarna hijau; Temenggong menggunakan panji berwarna hitam; manakala Laksamana menggunakan panji berwarna merah. Dinyatakan juga bahawa jikalau Bendahara, Temenggong atau Laksamana merupakan seorang kerabat diraja, maka bendera-bendera yang mereka pakai akan berbingkaikan warna diraja.

Penggunaan bendera di dalam budaya Melayu tidaklah asing. Seawal era Kesultanan Melayu Melaka lagi, terdapat rekod-rekod mengenai penggunaan panji-paji berwarna merah dan lambang bulan sabit oleh kerajaan tersebut. Malah, sejak seawal zaman Kerajaan Majapahit lagi sudah terdapat bendera yang digunakan iaitu bendera Sang Saka Getih-Getah Samudera atau Sang Saka Gula Kelapa.

Pada abad ke-17, hampir kesemua kerajaan Melayu menggunakan bendera berwarna putih bagi bendera negeri mereka. Walau bagaimanapun, apabila pihak penjajah British datang ke Tanah Melayu, mereka telah menasihati semua kerajaan-kerajaan Melayu untuk mengubah bendera mereka kepada bendera yang boleh dibezakan antara negeri-negeri lain. Kesemua negeri-negeri tersebut mengikuti nasihat British itu, kecuali Terengganu yang mengekalkan bendera putih itu sehingga tahun 1925.

Apabila British menubuhkan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, persekutuan tersebut telah menggunakan satu bendera yang mempunyai empat jalur melintang berwarna putih, merah, kuning dan hitam, dengan satu bujur putih di bahagian tengah bendera yang mengandungi seekor harimau. Bendera tersebut turut diguna pakai bagi Malayan Union namun telah digantikan apabila tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Bendera Persekutuan Tanah Melayu

Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan persetujuan Majlis Raja-Raja untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk bendera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang baharu.

Bagi tujuan itu, satu pertandingan telah diadakan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan telah ini dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan mendapat 373 penyertaan dari karyawan seluruh negara. Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baharu bagi Persekutuan Tanah Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.

Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut.Keputusan akhir pendapat umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail telah disiarkan pada 29 November 1949 di mana ia menunjukkan majoriti pengundi telah memilih rekaan bendera ketiga ciptaan Mohamed bin Hamzah, seorang arkitek kerajaan dari Johor.

Mohamed Hamzah semasa dipilih sebagai pencipta bendera Persekutuan Tanah Melayu
Bendera Johor yang diinspirasikan untuk bendera Persekutuan Tanah Melayu

Reka bentuk ini menampilkan sebelas jalur biru-putih dengan bulan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri di dalam pepenjuru berwarna merah. Reka bentuk ini adalah kacukan antara bendera Johor iaitu negeri asal Mohamed dan bendera Kerajaan Majapahit. Walau bagaimanapun, rekaan ini perlu diubah suai beberapa kali terdahulu.

Pengubahsuaian pertama bendera Persekutuan Tanah Melayu

Salah seorang ahli jawatankuasa tersebut, Dato' Onn bin Jaafar telah ke Johor untuk bertemu dengan Mohamed bagi membincangkan pengubahsuaian tersebut. Pertama ialah bintang pecah lima pada kanton bendera, yang mana Dato' Onn telah mencadangkan agar diubah kepada bintang pecah sebelas. Hal ini memandangkan Tanah Melayu sedang aktif menentang pengganas komunis di serata negara, dan bintang pecah lima adalah mirip simbol yang digunakan pihak komunis pada ketika itu. Kedua, perubahan terhadap warna jalur dan warna kanton telah dicadangkan, agar ditukar antara kedua-duanya, maka kantonnya berwarna biru dan jalurnya berwarna merah dan putih. Perubahan ketiga adalah hasil titah cadangan Sultan Badlishah ibni al-Marhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah pada ketika itu. Baginda mencadangkan agar warna putih bulan dan bintang itu diubah kepada warna kuning iaitu warna diraja.

Setelah Mohamed bersetuju dengan pengubahsuaian tersebut dan mengemukakan reka bentuk terpinda, reka bentuk tersebut telah diteliti pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"Bahawa pada pendapat Majlis ini Bendera Persekutuan Tanah Melayu hendaklah seperti berikut:- Sebelas jalur melintang berwarna merah dan putih berselang-seli, jalur paling atas berwarna merah, mempunyai suku biru dengan bulan sabit dan sebelas bintang berbucu dalam warna kuning bertindih. Saiz standard bendera ialah enam kaki kali tiga kaki."

Reka bentuk bendera terubah suai itu juga mendapat kelulusan Raja George VI pada 19 Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George VI.

 

Sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Bendera_Malaysia

Date of Input: 12/08/2024 | Updated: 30/10/2025 | m_bazli

MEDIA SHARING

DIVISION OF ADMISSION AND DIVISION OF ACADEMIC GOVERNANCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
Z, (12:05:47am-12:10:47am, 01 Mar 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]