Sejarah Stadium Merdeka | DIVISION OF ADMISSION AND DIVISION OF ACADEMIC GOVERNANCE
» ARTICLE » Sejarah Stadium Merdeka

Sejarah Stadium Merdeka

Stadium Merdeka mula dibina pada Julai 1956. Ia dibina khas untuk menyambut hari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Kerja-kerja pembinaannya telah diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya. Manakala, orang yang bertanggungjawab terhadap merancang rekabentuk dan pembinaannya ialah Stanley Edward Jewkes seorang Arkitek Amerika yang juga seorang jurutera. Stadium ini telah siap sepenuhnya pada Bulan Ogos tahun 1957 dan kos pembinaannya menelan belanja RM 2.3 juta. Sebahagian daripada kos pembinaan tersebut dibiayai melalui kutipan derma orang ramai.

Tapak Stadium Merdeka yang terletak di Bukit Petaling ini sebelumnya pernah dijadikan sebagai Taman Coronation atau “Coronation Park” pada tahun 1937. Ia termasuk di dalam hakmilik Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Sebelumnya juga, ia merupakan sebuah tapak perkuburan Cina yang terletak di atas bukit.

Batu asas Stadium Merdeka telah diletakkan pada 15 Februari 1957 dan dirasmikan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri Malaysia Pertama pada 30 Ogos 1957 iaitu sehari sebelum pengisytiharan kemerdekaan diumumkan.

Pembinaan stadium ini melibatkan pengalihan sebanyak 200,000 tan tanah dan meletakkan 10,000 tan konkrit dan dikuatkan dengan 700 tan besi.

Rekabentuk stadium adalah berbentuk bujur dan kedudukannya diletakkan secara menghadap utara dan selatan supaya mereka yang sedang bersukan tidak terganggu dengan sinaran matahari secara terus terutamanya pada waktu petang. Tempat duduk bumbung berada di sebelah barat, di tengahnya pula padang untuk aktiviti sukan seperti bola sepak dan ragbi dan di sekeliling padang pula terdapat 8 lorong trek larian.

Stadium ini boleh memuatkan kira-kira 22,000 tempat duduk dan 3000 daripadanya terletak di bawah bumbung. Pada tahun 1974, ia diubahsuai untuk memuatkan 40,000 orang penonton. Bagaimana pun, jumlah kapasiti penonton telah dikurangkan semula pada tahun 2007 kepada asal seperti tahun 1957 untuk menghidupkan semula detik-detik kegemilangan pengisytiharan kemerdekaan.

Stadium ini mempunyai 14 buah terowong sebagai pintu keluar-masuk stadium dan terdapat sebuah terowong besar untuk terus ke padang di sebelah barat daya stadium. Selain itu, terdapat4 buah tiang lampu limpah di setiap penjuru stadium dengan ketinggian 140 kaki. Satu bilik kawalan disediakan di tempat duduk berbumbung untuk mengendalikan pelbagai acara dan di atasnya terdapat pentas di Raja dan tempat duduk VIP. Beberapa bilik dan ruang lain juga disediakan termasuk bilik mesyuarat, bilik tv, bilik radio, bilik persalinan dan tempat makan.

Antara Peristiwa Bersejarah & Peristiwa Besar Pernah Berlangsung Di Stadium Merdeka

Pembukaan rasmi Stadium Merdeka, oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri Pertama Malaysia, 30 Ogos 1957

Pengisytiharan

ï‚·   Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, 31 Ogos 1957

ï‚·  Majlis Tilawah Al Quran Antarabangsa Kali Pertama, 1960

ï‚·  Sukan SEA

ï‚·  Pestabola  Merdeka

ï‚·  Michael Jackson, History World Tour 27 & 29 October 1996 dan sebagainya.

Date of Input: 05/08/2024 | Updated: 05/02/2025 | m_bazli

MEDIA SHARING

DIVISION OF ADMISSION AND DIVISION OF ACADEMIC GOVERNANCE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
S.2025/3/13:4:21:09~noCache