MEMBUDAYAKAN KONSEP CQI | BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
» ARTIKEL » MEMBUDAYAKAN KONSEP CQI

MEMBUDAYAKAN KONSEP CQI

Universiti Putra Malaysia (UPM) telah lama menunjukkan komitmennya terhadap kecemerlangan menerusi pelaksanaan Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. Sistem pengurusan kualiti ISO bermula di Fakulti Perubatan Veterinar yang berjaya mendapat pensijilan sejak 7 Julai 2000 dengan Sijil No. AR2020. Kemudian, proses pengurusan kualiti ini diterapkan secara berfasa dan berterusan sehinggalah pensijilan keseluruhan UPM melalui pendekatan berstruktur, konsisten dan berterusan sebagai asas kepada pelaksanaan fungsi utama universiti — pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, serta perkhidmatan profesional.

Pelaksanaan sistem kualiti ISO ini disandarkan kepada Dasar Kualiti Universiti, seperti berikut:

“Pekerja Universiti Putra Malaysia komited dalam mencapai kecemerlangan melalui penerapan budaya kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan sokongan untuk mencapai matlamat pelan strategik universiti.

Pekerja Universiti Putra Malaysia akan sentiasa melaksanakan tanggungjawab dalam mencapai objektif kualiti yang ditetapkan, serta memastikan objektif tersebut dikaji dari semasa ke semasa supaya selaras dengan visi, misi dan matlamat UPM.”*

Melalui dasar ini, setiap warga kerja UPM dipastikan bukan sahaja memahami peranan mereka dalam menjamin kualiti, malah terlibat secara aktif dalam pencapaian hasil yang berimpak dan sejajar dengan strategi universiti. UPM terus memperkukuh budaya kualitinya menerusi audit dalaman berkala, semakan objektif secara berterusan, serta pelaksanaan penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) dalam semua aspek operasinya.

Penambahbaikan Kualiti Berterusan (CQI) ialah satu proses berstruktur dan berterusan yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, sistem atau hasil kerja melalui pengenalpastian peluang penambahbaikan secara berterusan dan pelaksanaan tindakan berdasarkan analisis data dan prestasi. CQI menekankan pendekatan yang proaktif dalam menyelesaikan masalah, bukan sekadar menunggu audit atau aduan berlaku. Pembudayaan CQI berupaya mewujudkan budaya kecemerlangan yang menggalakkan setiap warga universiti untuk sentiasa bertanya, “Bagaimana kita boleh lakukan ini dengan lebih baik?” dan seterusnya mengambil tindakan berdasarkan maklumat untuk meningkatkan nilai — sama ada dari segi masa, kos, keberkesanan atau kepuasan pelanggan. Ini amat bertepatan dengan Kerangka Stategik UPM yang diketengahkan oleh YBhg. Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM yang meletakkan antara fokus warga UPM kepada penyampaian perkhidmatan yang melangkaui jangkauan, pengalaman pembelajaran dan kehidupan terbaik serta kesohoran global.

Melalui pengalaman berkhidmat di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM, penulis mendapati terdapat amalan yang dilazimi oleh pengamal perubatan yang boleh menyokong penambahbaikan secara berterusan yang dikenali sebagai Continuing Medical Education (CME) atau Pendidikan Perubatan Berterusan. Antara definisi CME atau Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) yang digunakan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, ia merujuk kepada aktiviti pendidikan yang membantu profesional penjagaan kesihatan mengemas kini pengetahuan dan kemahiran mereka serta mengikuti amalan perubatan yang sedang berkembang. Ini merangkumi aktiviti secara langsung, penerbitan bertulis, modul atas talian, video, dan lain-lain. CME merupakan proses pembelajaran berterusan yang mendorong kecemerlangan klinikal dan penjagaan berfokuskan pesakit.[1] Latihan secara praktikal ini turut memperkukuh kefahaman rentas skim (doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, pembantu perawatan kesihatan) dan mewujudkan budaya profesional yang sejajar dengan penjagaan klinikal yang cekap. CME juga perlu direkodkan bagi memastikan pengamal dan pelaksana sektor perkhidmatan kesihatan boleh meneruskan perkhidmatan dengan mengekalkan sijil amalan tahunan (APC). Aktiviti CME ini boleh disamakan dengan CQI, namun berbeza dari aspek perekodan, pelaksanaan dan skop yang lebih luas.

Semua Pusat Tanggungjawab di universiti, perlu turut menghayati prinsip CQI. Bergantung kepada audit sebagai pencetus tindakan kualiti akan mewujudkan budaya kerja yang reaktif. Sebaliknya, CQI membentuk pemikiran yang proaktif, fleksibel dan berorientasikan penambahbaikan jangka panjang. Bagi yang biasa dengan piawaian ISO, CQI merupakan pendekatan yang lebih anjal dan berkesan dalam membudayakan kualiti.

Prinsip ini turut seiring dengan ajaran Islam, khususnya konsep itqan—yakni melaksanakan tugas dengan cermat, sempurna dan bersungguh-sungguh. Nabi Muhammad SAW bersabda:

 

“Sesungguhnya Allah menyukai apabila seseorang itu melakukan pekerjaan, dia melakukannya dengan sempurna (itqan).”


(Hadis riwayat al-Baihaqi dalam Shu’ab al-Iman)

 

Justeru, kualiti tidak seharusnya hanya difokuskan semasa audit—ia perlu menjadi satu budaya dan usaha yang berterusan. Continuous Quality Improvement (CQI) memberi kerangka untuk kita sentiasa menambah baik, menyesuaikan diri, dan bertindak secara proaktif terhadap cabaran dalam penyampaian perkhidmatan. Semangat CQI ini perlu juga dilaksanakan dalam persekitaran pentadbiran dan sokongan. Kebergantungan terhadap audit semata-mata akan membentuk budaya kerja yang reaktif. CQI pula mendorong pendekatan yang dinamik, berdaya tahan, dan berorientasikan penambahbaikan sepanjang masa.

Kata-kata hikmah yang sering dikaitkan dengan Imam al-Ghazali dan ulama terdahulu berbunyi seperti berikut:

“Sesiapa yang harinya sama seperti semalam, maka dia adalah orang yang rugi. Sesiapa yang harinya lebih buruk dari semalam, maka dia adalah orang yang celaka. Tetapi sesiapa yang harinya lebih baik dari semalam, maka dialah orang yang berjaya.”

 

Kata-kata ini sangat bertepatan dengan semangat CQI—iaitu menambah baik dari hari ke hari, walaupun dengan perubahan kecil.

 

Penulis percaya bahawa dengan menghayati nilai itqan dan CQI dalam budaya kerja, organisasi mampu meneroka penambahbaikan dan inovasi yang mungkin tidak dirancang tetapi muncul hasil daripada proses yang berkualiti dan berdaya maju. Daripada menumpukan kepada bilangan Non-Conformance Reports (NCR) atau Opportunities for Improvement (OFI) semata-mata, kita juga perlu mengambil kira jumlah dan impak inisiatif CQI yang diperkenalkan dan dilaksanakan—sama ada dari segi masa, kos atau keberkesanan proses.

 

Marilah kita membudayakan CQI bukan sebagai aktiviti audit, tetapi sebagai satu cara hidup dalam pekerjaan—di mana prestasi hari ini lebih baik daripada semalam, dan hari esok akan lebih cemerlang, selari dengan prinsip kecemerlangan yang lebih menyeluruh.

 

Mohd Nazri bin Md Yasin

Ketua Pentadbiran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)

Tarikh Input: 21/05/2025 | Kemaskini: 30/10/2025 | mnazrimy

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
W, (12:00:25pm-12:05:25pm, 27 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]