| BAHAGIAN KEMASUKAN & BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
senarai pengumuman terkini

EDARAN DALAMAN:

KEMASUKAN SEMULA PELAJAR TEMPATAN DAN ANTARABANGSA

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA BAGI SEMESTER 1 SESI 2020/2021

 

Kepada Pegawai dan Pelajar Universiti Putra Malaysia,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

  1. Sejajar dengan pengumuman oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia bertarikh 16 Julai 2020, Universiti Putra Malaysia (UPM) akan meneruskan semula aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka untuk program Bacelor, Master dan PhD bagi Semester 1 Sesi 2020/2021 yang akan bermula pada 19 Oktober 2020. Bagi program Diploma, aktiviti PdP secara bersemuka akan bermula pada 28 September 2020 sebagaimana Edaran Dalaman TNCAA bertarikh 29 Jun 2020.
  2. Semua pelajar antarabangsa yang dibenarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk masuk ke Malaysia diwajibkan menjalani kuarantin dua minggu yang merangkumi ujian pengesanan COVID-19 seperti yang dikehendaki oleh Majlis Keselamatan Negara dan berada di pusat kuarantin yang disediakan oleh NADMA (National Disaster Management Agency). Pelajar diminta untuk memaklumkan penempatan pusat kuarantin mereka kepada UPM dengan mengisi google form i-PUTRA https://forms.gle/oVD2gYEmfGg3UcTk8 pada hari pertama di pusat kuarantin. Semua kos kuarantin perlu ditanggung sendiri oleh pelajar semasa daftar masuk. Hanya setelah selesai menjalani kuarantin dua minggu (dengan keputusan ujian COVID-19 negatif), mereka dibenarkan menghadiri kelas bersemuka di UPM. Oleh itu, mereka dikehendaki kembali ke Malaysia dua minggu sebelum bermulanya Semester 1 Sesi 2020/2021 (selewat-lewatnya pada 4 Oktober 2020) untuk menjalani kuarantin.
  3. Pelajar antarabangsa hanya akan dibenarkan memasuki Malaysia setelah menerima Travel Authorization Letter daripada Jabatan Imigresen Malaysia/EMGS. Mereka juga diminta untuk menyerahkan Letter of Undertaking (LoU) yang menyatakan persetujuan menjalani kuarantin selama dua minggu dan bahawa mereka akan menanggung semua kos yang dikenakan. Selain itu, mereka juga perlu mendapatkan Surat Persetujuan (Entry Permit) daripada Kedutaan/Perwakilan Malaysia yang ditauliahkan di luar negara. Pelajar antarabangsa tidak dibenarkan membawa tanggungan bersama.
  4. Sekiranya pelajar antarabangsa tidak dibenarkan memasuki Malaysia atau membuat keputusan untuk tidak kembali ke UPM bagi pengajian Semester 1 Sesi 2020/2021 kerana tidak mahu membayar kos kuarantin selama dua minggu dan tiada kelas maya untuk program mereka, mereka diminta untuk menangguhkan pengajian mereka bagi semester tersebut.
  5. Semua fakulti dan institut diminta untuk memastikan bahawa pelajar mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia serta semua peraturan lain yang ditetapkan oleh UPM dari semasa ke semasa.
  6. Segala perubahan dalam garis panduan UPM yang disebabkan oleh perubahan polisi dan peraturan Kerajaan Malaysia sepanjang tempoh pandemik ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

 

Prof. Ts. Dr. M. Iqbal Saripan

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa)

Universiti Putra Malaysia

dvcai@upm.edu.my

4 September 2020 | 16 Muharram 1442H

 

BAHAGIAN KEMASUKAN & BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
B1606304000