Perihal Tidur Awal Dan Lewat | BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
» ARTIKEL » Perihal tidur awal dan lewat

Perihal tidur awal dan lewat

Oleh LOKMAN HAKIM 30 Januari 2019

Saya hendak berkongsi mengenai pentingnya tidur. Kata orang dalam dunia ini, ada dua keadaan dan perkara yang ramai orang buat penuh ikhlas. Pertama makan, kedua tidur.

Saya pernah terbaca sebuah artikel mengenai bilakah waktu terbaik untuk kita tidur. Berdasarkan artikel tersebut dan daripada apa yang selalu saya dengar, yang paling baik untuk menjaga kesihatan adalah tidur awal dan bangun pun awal.

Katanya, dalam tubuh kita ada “jam” yang sentiasa berdetik.

Kewujudannyalah yang membuat fungsi dalam badan kita berjalan lancar, termasuk jadual tidur dan bangun kita.

Katanya antara jam 11 malam dan 3 pagi, putaran perjalanan darah kita tertumpu di hati. Hati menjadi kembang apabila dipenuhi dengan darah. Inilah masa yang sangat penting untuk tubuh kita mengalami proses detoksifikasi.

Maknanya, hati kita meneutralkan dan pecahkan toksin yang terkumpul sepanjang hari. Tetapi jika kita tidak tidur pada waktu tersebut, hati kita tidak boleh melakukan proses tadi dengan lancar.

Mudah cerita, kalau kita tidur jam 11 malam dan bangun 3 pagi, badan kita ada 4 jam untuk proses detoksifikasi.

Kalau kita tidur jam 12 tengah malam, ada 3 jam. Semakin lewat kita tidur semakin kuranglah tempoh pemprosesan itu. Jadi, bagaimana jika kita tidur selepas pukul 3 pagi?

Jawapannya mudah tapi membimbangkan. Sekiranya kita terus dengan amalan tidur mengikut corak begini, toksin akan terus bertambah dalam bada dan toksin meracuni badan kita.

Banyak masalah boleh terjadi kepada diri akibat toksin berlebihan; daripada kulit kusam dan berjerawat kepada sakit kepala, letih tanpa sebab, susah bangun tidur dan keliling mata seakan lebam.

Malah ia boleh mempengaruhi emosi kita, kita kerap marah dan sering tidak tenang. Itu antaranya sahaja.

Bagaimana jika kita tidur lewat dan bangun lewat pula? Yang terkesan adalah kita akan rasa letih tidak kira berapa lama kita tidur. Tentunya, tidur lewat dan bangun lewat buruk untuk kesihatan.

Katanya, dari 3 hingga 5 pagi putaran darah akan tertumpu dalam paru-paru. Kalau ini amalan kita, kita perlu banyakkan senaman dan menyedut angin bersih.

Dari jam 5 ke 7 pagi, putaran darah tertumpu dalam urat perut. Tentunya kita patut ke tandas. Antara 7 dan 9 pagi, darah tertumpu dalam perut. Maka kita perlu sarapan.

Dikatakan sarapan paling penting. Tidak menjaga sarapan berkemungkinan mengakibatkan masalah kesihatan pada masa depan.

Kesimpulannya ialah, untuk menjaga kesihatan dan kecergasan, tentukan kita tidur awal dan bangun awal.

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai pelbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara

Tarikh Input: 20/07/2023 | Kemaskini: 20/07/2023 | m_bazli

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
SXEcMAg~