Pilih Pemakanan Seimbang Kekal Gaya Hidup Sihat | BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
» ARTIKEL » Pilih pemakanan seimbang kekal gaya hidup sihat

Pilih pemakanan seimbang kekal gaya hidup sihat

 

Hamizah Badiran

hamizah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia kaya dengan kepelbagaian makanannya yang lazat. Daripada hidangan lauk-pauk, masakan panas, kuih-muih dan pencuci mulut, semuanya enak belaka.

Hal ini menjadi satu cabaran buat orang ramai untuk memilih dan menentukan jumlah makanan yang tepat bagi mengamalkan pemakanan seimbang untuk kehidupan lebih sihat disusuli dengan amalan gaya hidup aktif.

Pemakanan seimbang seharusnya merangkumi pelbagai jenis kumpulan makanan dalam jumlah yang bersesuaian untuk keperluan pelbagai fungsi penting tubuh.

Amalan pengambilan makanan yang sihat ini seharusnya dipupuk dari rumah dan seelok-eloknya sejak peringkat awal usia kanak-kanak supaya ia menjadi satu tabiat sepanjang hayat.

Ini penting sebagai dorongan untuk mereka menjalani kehidupan secara seimbang dan melalui usaha berkenaan ia memberi peluang generasi muda mendapat pendedahan awal mengenai amalan gaya hidup sihat serta menyalurkan pengetahuan mengenai pemilihan makanan seimbang.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Persatuan Dietitian Malaysia (MDA) misalnya, mengetengahkan pendekatan yang menggalakkan pemakanan seimbang dalam kalangan generasi muda bermula dari peringkat sekolah menerusi Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI (MSSCC) yang menjadi platform terbaik mendidik pelajar mengenai makanan, khasiat pemakanan dan tabiat makan yang sihat.

Pertandingan berkenaan yang sudah memasuki usia 22 tahun penganjurannya juga dilihat membantu menyemai minat memasak dalam kalangan generasi muda.

 

Penganjurannya juga adalah sebahagian usaha murni yang bukan saja meningkatkan ilmu mengenai nutrisi makanan dan cara masakan lebih sihat malah turut berkongsi maklumat serta tip mudah menjadikan amalan pemakanan sihat itu sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan.

Sebenarnya, tidak sukar mahupun terlambat untuk memulakan gaya pemakanan seimbang mengikut saranan pakar atau perunding diet yang sudah banyak kali diketengahkan dalam media massa.

Apa yang penting, kita perlu bertindak mulai hari ini untuk menjadikan ia sebahagian daripada amalan harian dan mengekalkan tabiat amalan yang baik ini untuk jangka masa panjang.

Selain itu, timbul juga persoalan, bagaimana untuk mengetahui makanan yang dipilih atau diambil di dalam pinggan itu benar-benar berkhasiat dan seimbang?

Bagi memudahkan orang ramai mengamalkan pemakanan seimbang ini, Pinggan Sihat Malaysia diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pendekatan mudah bagi seseorang untuk memastikan pilihan makanan yang diletakkan di atas pinggan makan waktu utama dalam kuantiti yang sewajarnya.

Apa yang diperlukan hanyalah pinggan berukuran kira-kira 10 inci yang dibahagikan kepada tiga bahagian menggunkan konsep #suku-suku separuh.

Ikuti langkah mudah konsep #suku-suku separuh ini yang bermaksud suku pertama pinggan diisi dengan sumber karbohidrat seperti nasi, mi, roti dan bijirin di mana kumpulan makanan ini merupakan sumber tenaga utama kepada tubuh kita.

Suku kedua pula diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging, telur dan kekacang yang diperlukan untuk tumbesaran, perkembangan dan memperbaiki tubuh.

Separuh pinggan lagi diisi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya dengan sumber serat, vitamin dan mineral penting untutk membantu pelbagai fungsi penting tubuh.

Selain itu, jangan lupa minum air secukupnya kerana ia penting untuk mengawal suhu badan, mengangkut nutrien dan bahan buangan dalam badan.

Kini anda sudah faham mengenai pembahagian kumpulan makanan yang penting setiap kali mengisi pilihan makanan anda di dalam pinggan.

Namun, anda juga mungkin masih tidak pasti berapa banyak kuantiti yang perlu diisi.

Justeru, ikuti perkongsian seterusnya yang hanya menggunakan tangan anda sendiri sebagai anggaran kuantiti yang wajar bagi menentukan tiga bahagian berkenaan.

Contohnya, dalam suku kedua, tentukan pengambilan jumlah protein dengan anggaran saiz bahagian tapak tangan (tidak termasuk jari).

Kemudian, saiz satu genggaman tangan adalah jumlah ideal anggaran pengambilan karbohidrat bagi suku pertama itu manakala saiz secekup tapak tangan (cupped hand) pula untuk menentukan saiz hidangan bagi buah-buahan dan sayur-sayuran.

Kini, bukankah pemakanan seimbang itu mudah? Kita hanya perlu menggunakan pinggan yang sama dan menggunakan tangan anda sendiri untuk mendapatkan anggaran kuantiti kumpulan makanan berkenaan.

Secara puratanya, pengambilan air yang disarankan ialah enam hingga lapan gelas sehari. Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu sangat aktif dan banyak berpeluh, mereka perlu mengambil dua gelas air tambahan bagi mengelakkan dehidrasi.

Pengambilan lemak, minyak, gula dan garam perlu dikawal kerana jika diambil berlebihan, ia akan menyumbang kepada risiko penyakit kronik.

Pelajar dan orang ramai boleh memperoleh maklumat lanjut mengenai cara pemakanan sihat serta teknik pintar memasak melalui pautan https://www.maggi.com.my/nurturing-a-healthier-future .

Anda juga boleh mendapat idea dalam menyediakan hidangan lazat lagi berkhasiat untuk keluarga menerusi pelbagai resipi enak daripada MAGGI di laman web berkenaan.

Disiarkan pada: Oktober 5, 2018 @ 2:52pm

Tarikh Input: 17/07/2023 | Kemaskini: 17/07/2023 | m_bazli

PERKONGSIAN MEDIA

BAHAGIAN KEMASUKAN DAN BAHAGIAN URUS TADBIR AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0397696060
0389426469
SXEcBAI~